Warkah Seorang Ibu Buat Anak
Assalamualaikum
Warkah seorang ibu buat anaknya yg mempunyai masalah rumahtangga dgn suaminya...
Inilah laluan CINTA
Anak ku,
Memang indah menjadi isteri yang dicintai suami.
Inilah yang menjadi impian para isteri. Tetapi indah
bukan menjanjikan tenang, bahagia apatah lagi
keselamatan yang kekal, anak ku. Kerana itulah ibu
berani berkata bahawa jika cinta suami gagal kau
perolehi, bukan bermakna tertutupnya pintu bahagia di
dunia ini. Apatah lagi, kebahagiaan yang kita burui
adalah kebahagiaan yang kekal di Akhirat nanti.
Memanglah hebat, jika suami isteri saling cinta
menyintai. Tetapi apabila berlaku tidak seperti apa
yang kita mahu, pasti ada sesuatu yang ingin diberikan
oleh Allah kepada mu...
Anak ku,
Bila engkau memandang segalanya dari Allah, yang
mencipta segalanya, yang menimpakan ujian, yang
menjadikan sebab sakitnya hati mu, yang membuatkan
keinginan mu terhalang, serta menyusah-nyusahkan hidup
mu...pasti akan damailah hati mu. Kerana, masakan
Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu
yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu deritanya hidup
mu, pecahnya hati mu...tapi mungkin itulah yang Dia
mahu. Kerana Dia tahu, hati yang sebeginilah selalunya
lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab dengan
Nya.
Anak ku,
Mungkin benar, perkahwinan ini memang bukan atas
pilihanmu sendiri, tapi bila ia telah berlaku,
hakikatnya itulah pilihan yang Allah mahu untuk mu.
Ibu ayah mana yang tidak mahu melihat anaknya bahagia.
Tapi, terlalu banyak perkara berlaku diluar jangkaan
kita sendiri...cuma yang mahu ibu ingatkan anak ku,
perkahwinan atau suami bukanlah matlamat akhir hidup
kita. Ia hanyalah alat untuk kita merebut keampunan
dan keredhaan Illahi...
Anak ku,
Sesuatu yang kita tidak mahu cintai kadang-kadang
begitu dicintai oleh hati. Sebaliknya kadang-kadang
kita terlalu ingin dan mahu cintakan sesuatu, tapi
hati menolak. Hal ini adalah takdir yang kita sendiri
pun tidak boleh mengawal dan menentukannya, walau
siapa pun kita. Tapi ia bukan sesuatu yang perlu
engkau kesalkan anak ku..sedangkan sikap kita yang
tidak mencintai Allah pun sering kita berikan maaf,
walau ia satu kesalahan yang lebih besar, mengapa pula
sikap suami ini begitu payah untuk kita terima?
Inilah kita anak ku. Terlalu mudah sakit bila hak
kita terabai, sedangkan bila hak Allah terbiar, hati
tidak tersentuh langsung...
Anak ku,
Allah sayang pada mu. Dia mahu engkau juga sayang dan
cinta padaNya. Kerana itulah diberiNya kesusahan pada
perasaan mu. Dia mahu engkau berpaling dari cinta
sementara yang amat engkau burui itu...kepada cinta
mutlak yang Maha Agung lagi indah. Tidakkah engkau
rasa hati mu sekarang lebih lunak untuk mengingati
Allah, jika dibandingkan dulu? Bukankah ini satu
nikmat anak ku? Maka, janganlah disia-siakan peluang
ini dengan sungutan dan rasa tidak redha mu...
Anak ku,
Jika dalam pada engkau tahu suami mu tidak mencintai
mu tetapi engkau masih mampu memberikan khidmat
terbaik padanya, mendoakannya, maka itulah bererti
bahawa engkau memang bersungguh-sungguh untuk memburu
cinta Illahi. Jika tidak, derita mu itu hanyalah
derita yang lahir dari nafsu tercabar. Ia tidak ada
erti apa-apa anak ku, dan tidak layak untuk mendapat
simpati...
Anak ku,
Suami mu itu walau dipegang sekuat-kuatnya atau
dipeluk seerat-eratnya namun dia tidak akan kekal,
hidupnya ada batas dan akhirnya dia akan pergi
daripada mu. Suatu masa nanti engkau akan tetap
kehilangannya. Kerana itu, selagi terbuka peluang
untuk engkau merebut pahala sabar, redha dan syukur
ini, rebutlah anak ku. Dan jika sakitnya terlalu
menusuk, bagaikan menghiris hati mu, datanglah pada
Allah untuk mengadu dan merayu. Katakan, bukan engkau
tidak redha, tapi engkau adalah hambaNya yang terlalu
lemah. Mohonlah pimpinan dan kekuatan dariNya...jika
belum Dia mahu mengangkat derita itu, maka minta lah
derita itu menjadi sebab untuk engkau terus berada
dalam perhatian dan kasih sayangNya.
Ingatlah juga anak ku, bahawa mungkin ini juga satu
hukuman untuk mu. Hukuman pada dosa-dosa yang tidak
bersungguh-sungguh kita memohon keampunan daripadaNya.
Dengan datangnya ujian ini, moga kita akan sedar dan
insaf sendiri. Sedar yang kita hanyalah hamba yang
layak dihukum apa saja olehNya. Supaya kita datang
kepadaNya, merayu-rayu meminta ampun pada kesalahan
kita selama ini dan meminta ketenangan abadi yang
hanya Allah sahaja boleh memberikannya...
Anakk ku,
Doakanlah terus untuk suami mu. Dan doakan juga untuk
diri mu sendiri. Engkau sedang melintasi satu
jambatan yang pendek tapi sulit, untuk pergi ke satu
mahligai yang kekal abadi dan bahagia yang hakiki.
Berbaktilah sesungguh hati padanya, yang telah Allah
tentukan sebagai suami mu. Dan hasilnya jangan kau
tuntut darinya anak ku, tapi nantikanlah ia di Akhirat
yang kekal abadi...
Comments
Post a Comment