Rahsia Untuk Menjadi Isteri Solehah
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Baitul muslim atau rumah tangga Islam adalah lahir daripada gabungan suami dan isteri yang soleh dan solehah. Tanpa wujud kedua-duanya atau salah satunya tidak soleh maka akan berlaku kekurangan dan kepincangan maka tidak mungkin baitul muslim tersebut dapat dibena untuk menjadi rumahtangga bahagia.
Isteri yang solehah adalah komponen penting untuk membentuk rumahtangga bahagia tetapi sebaliknya jika para isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumahtangga yang kucar-kacir. Kita sedar dan faham terdapat tiga perkara yang membahagiakan iaitu isteri yang solehah, jiran-tetangga yang baik dan kenderaan yang sempurna.
Wanita adalah penentu buruk baik sebuah masyarakat. Sedangkan masyarakat yang baik lahir dari rumahtangga dan keluarga yang bahagia. Wanita dengan sifat kehalusan yang dianugerahi oleh Allah SWT, sesuai sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami. Dari sifat asal dengan kehalusan sifat kewanitaan ini jika dididik dan diasuh serta dihalusi hatinya sejak awal-awal maka akan melahirkan kematangan berfikir dan tingkah laku yang mulia sebagai persiapan seorang isteri yang solehah, sudah pasti berhasil.
Ada yang bertanya, bagaimana saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat beribadat), mempunyai ilmu Islam yang tinggi atau pandai menafsir al-Quran?
Jika memiliki kelebihan tersebut adalah bonus, tetapi jika tidak memiliki sepenuhnya masih layak menjadi isteri yang solehah.
Sebenarnya untuk menjadi isteri solehah bukanlah suatu perkara sukar, dia mesti pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan dirinya dan merasai seronok berada disampingnya.
Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati suami, mereka boleh menduduki carta itu.
Sekiranya senyuman isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit.
Pandangan yang mesra dan lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.
Sahabat yang dimuliakan,
Suami mana akan memandang ke belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak bersama rakan di kedai kopi.
Berapa ramai isteri yang memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka pintu.?
Rasululullah SAW pernah bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami melihat kepadanya.
Sabda Rasulullah SAW. dari Ibnu Abbas r.a maksudnya : "Maukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu wanita yang soleh. Apabila suaminya melihat kepadanya, gembiralah dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Dari hadis di atas jelaslah kepada kita ukuran seorang isteri yang baik. Ia mampu melayani suami sebaik mungkin dalam segala bidang; ketaatan yang tidak berbelah-bahagi asalkan yang diredai Allah SWT dan boleh mengawal harta benda dan nama baik suaminya ketika tidak ada di rumah.
Bayangkan suami yang pulang dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan minuman untuk menghilangkan dahaga.
Memang sukar mencari ciri-ciri wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian. Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.
Layanan isteri kepada suami tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan dan belanja isteri.
Jika perkara ini dilaksanakan, apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami.?
Beruntung isteri yang tahu melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Bersabda Rasulullah SAW: "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya."(Hadis Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang wanita reda atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya ia telah mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya dijalan Allah; dan jika ia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)
Isteri yang sengaja enggan melayan hajat suami di tempat tidur tanpa alasan yang menasabah akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Menurut satu kajian mendapati suami yang mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.
Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri. Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.
Justeru, isteri perlu mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang jelita atau harta yang banyak.
Bayangkan ketika kecil, anak mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai manusia yang tidak terkawal.
Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman dan ketaatan adalah senjata untuk memikat hati suami dan menjamin kebahagiaan rumah tangga yang sedang dibena.
Walaupun kalian belum sempurna dengan ciri-ciri isteri solehah, kalian perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kriteria ini dengan berdoa dan berazam untuk mencapai tahap solehah yang akan meletakkan kalian menjadi perhiasan terbaik di dunia seperti hadis Nabi SAW yang menyatakan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.
Comments
Post a Comment