Isteri Solehah, Hebat Dugaanmu!


Assalamualaikum

Saya kongsi kisah teladan yang saya copy paste dari blog Di Atas Sejadah Cinta

Assalamualaikum...

Cerita ini panjang, kena sabar untuk dibaca. Tajuknya: "Jangan menangis wahai wanita."

SEBIDANG tanah adalah kamu katanya, tamsilnya ladang dan dia adalah petani yang akan membajaki gemburan tanah. Sebab di sana dia akan membawa saya bersama-sama melayari bahtera hidup.

Bersama nakhoda, saya menyemai cinta untuk saya buahkan kebahagiaan, untuk saya lahirkan amanat. Bukankah ia lelaki itu yang telah meletakkan saya di puncak? Ia mengandaikan saya dengan berbagai-bagai kejadian.

Mula-mula ia ladangi saya. Katanya saya ladang subur, luhur yang bergenang air sumur. Kemudian ia limpahi madu kata yang mengkhayalkan jiwa. Tuturnya lagi, telaga yang melimpah niranya harus sering ditimba airnya agar ia tak mengering sendiri. Allah
Menciptakan wanita untuk lelaki dan ia menyambung bahawa ia tahan berlapar dan
haus tetapi tidak dapat bersabar dengan wanita.

Betapa bangga. Sayalah perempuan pilihan itu. Jalur-jalur kebahagiaan menjejaki hidup saya. Titian indah saya titi dengan hati-hati agar jiwanya tidak tersentuh dengan mainan lidah saya.

Bicara kata saya lapisi dengan kalimah-kalimah yang menyejukkan telinga lalu menusup ke otaknya buatnya mengerti bahawa saya benar- benar menjaga bahtera pelayaran kami. Dari pelangi kami menyusur, meredah langit tujuh, membilang bintang, mengepung awan menuruni lurah, mendaki gunung, membina jiwa, menjahit luka, merawat noda dan segala-galanya.

Keperempuanan saya ia hargai. Air matanya mengalir melihat saya berhempas-pulas meneran untuk menalikan zuriatnya. Dari satu menjadi dua, membilang tiga, menyusun empat. 

Mereka menjadi penyeri dalam bahtera yang terus belayar di samudera yang airnya sering tenang. Sesekali ia berkocak tetapi tak bias menggoncang keharmonian layaran bahtera.

Dari prima pelangi, kami turuni lembah dan lurah. Gunung kami daki. Sesekali jiwa tercalar, kami rawat luka kami jirus cinta kami agar mekar berpanjangan. Bahunya juga saya ringankan. Supaya ongkos tidak menjadi punca retakan kerana saya berkerjaya. Tidurnya saya nyamankan agar ia tak punya kesulitan untuk membina jambatan jaya. Lenguh letainya saya minimumkan agar keluhan tidak terlontar dari bibirnya. Hidungnya saya wangikan agar tak jemu ia bertandang pulang.

Sayalah perempuan itu. Mengurangkan bebanan dan tanggungjawabnya dalam melestarikan sebuah perkahwinan. Supaya manis dan lazatnya berpanjangan.

Supaya menjadi isteri yang sedap matanya memandang. Supaya cela dan cacat ia buang tak terlihat. Saya tak pernah berkira. Duit saya duitnya. Ada tikanya tanpa sedar saya boros berbelanja untuk kebahagiaan keluarga, lebih-lebih lagi dia sering dihimpit ketidakcukupan. Saya memahami dirinya. Seorang tokoh yang agak disegani di tempat kerja.

Keretanya sahaja berapa ansurannya, banglo yang didiami dan kad-kad kredit yang bersusun indah di dompetnya. Ia sering jadi bandingan di antara teman-temannya. Bahawa ia seorang suami yang sangat setia.

Lalu, sempat ia menyisipkan sebuah cerita di telinga saya. Tentang seorang temannya. Dalam diam dan tanpa sedar mengenali seorang perempuan muda.

Mulanya menghulur sebuah kisah duka. Hujung hatinya tersentuh disapa cerita nestapa. Dari simpati membenih kasih, dari kasih menguntum cinta, dari cinta membunga sayang dan akhirnya mereka bernikah di sempadan Siam tanpa ketahuan isteri tua.

Entah angin gila dari mana menaufan lalu perlahan-lahan menyemilir berita ke hujung telinga isteri tua. Memetir dan bertempiklah isteri tua dek ledakan emosi yang jauh meninggalkan akal.

Tegak emosi di puncak menghenyak kewarasan minda. Sehingga temannya terduduk terkejut bercampur panik diberikan kata dua oleh isteri pertama. Semudah mana ia meluncurkan sekeping lidah tidak bertulang untuk sebuah penyatuan, begitu juga untuk sebuah perceraian. Hanya untuk empat purnama, ia gugurkan daun yang masih muda dari tangkainya dengan talak. Ia benar-benar tidak tertahan dengan serangan isteri pertamanya. Sindirannya singgah di telinga saya. 

``Tak mencium bau syurga kerana meruntuhkan masjid.''

Ia maksudkan isteri pertama temannya. Itulah bahananya kalau wanita membenarkan kuntum-kuntum mazmumah membenih dalam urat dan darahnya. Ia tak punyai rasa berdosa untuk memberi kata dua pada suami agar membuat pilihan.

Dendam dan amarah telah berbara di hatinya. Lambat laun akan membakar hati budinya daripada mengasihi sesama insan.

``Wanita harus banyak bersabar dalam menempuh kehidupan. Jangan ambil mudah sesebuah perkahwinan kerana syaitan di kiri kanan bersorak riang di atas timbunan perpecahan.'' Suami saya berkhutbah perlahan di hujung telinga. Ia membuat perbandingan antara wanita Malaysia dan wanita Afghanistan.

``Kesengsaraan mengajar wanita Afghanistan untuk menjadi tabah walaupun kehilangan suami di medan peperangan. Tidak seperti segelintir wanita di Malaysia yang manja-manja.
Setakat berkongsi suami mereka sudah tak boleh berfikir dengan rasional.''

Ayat yang meletakkan saya dalam tanda tanya ternoktah di situ. Saya sendiri tidak dapat membuat pertimbangan wajar seandainya perkara itu berlaku pada saya. Renungannya tajam menerpa ke anak mata saya.

Gelengan kepalanya meruntun jiwa saya. Kecewa dengan sikap isteri tua temannya. Saya tidak berani bertanya akan kesudahan yang berlaku pada isteri muda yang dijatuhkan talak setelah empat bulan bersama.

Saya menjadi diam. Dan, diam menjadi bisu. Angin malam dari bahtera kehidupan menidurkan cerita itu dan belaian angin yang sama menjenderakan kami buat seketika. Esoknya angin hidup membelai bahtera lalu saya jalani hidup yang lebih mendamaikan.


Usrah kian kerap saya hadiri dalam pengisian menjadi manusia di peringkat awal mahmudah. Keinsafan membeliti jiwa saya lebih-lebih lagi melihat badai yang menimpa rumah tangga teman sang suami.

Bagi saya musibah itu adalah peringatan untuk saya dan manusia di sekeliling. Putaran hidup tetap berjalan dan saya kian kerap menghadiri ceramah di kejiranan saya. Ceramah yang saya hadiri kebelakangan ini pula sering menyingkap tentang lumayannya pahala untuk isteri yang meredakan suaminya berpoligami. Ia sering berkata hidup ini hanya transit.

Persinggahan sementara untuk sampai ke alam barzakh. Muliakan diri dengan sifat-sifat mahmudah dan sifat ini paling terpuji. Lalu ia menyebut sebuah pepatah Arab yang berbunyi -

`Tidak ada satu anugerah yang Allah beri kepada seseorang manusia itu lebih mulia daripada akalnya dan budi pekertinya. Dan itu terkandung dalam sifat mahmudah.'

Dan si penceramah perempuan bertanya kepada para wanita yang tekun mendengar. Siapa yang rela bermadu? Tidak ada siapa yang rela. Yang diam terus diam. Yang tunduk kian merunduk.

``Memang tidak ada siapa yang rela tetapi kalau suami sudah bernikah, relakanlah. Jangan runtuhkan masjid yang telah dibina. Patuhlah pada sunah nabi. Baginda mulia jiwa dan luhur budinya. Ia bukan sahaja seorang yang penyayang tetapi sangat menghormati wanita seperti kita dan tangannya tidak pernah menyentuh tangan wanita yang bukan ajnabi, pemurah, tawaduk sering berlapar untuk bersedekah pada yang fakir dan baginda adalah teladan kepada kita semua. Didiklah hati agar kita menghampiri sifat mahmudah dan jauhi sifat mazmumah.''

Apa yang harus dibuat? Tanya seorang wanita.

Terimalah ketetapan Tuhan.

Pahit.

Ada manisnya.

Beri kata dua pada suami.
Berdosa meruntuhkan masjid.
Perempuan mana yang sanggup?
Perempuan yang beriman.
Siti Aisyah pun mengamuk.
Ikutlah sunah yang baik. Titik.
Cuba untuk merasionalkan diri. Ada kalanya saya terfikir memang mudah untuk mengucapkan: ``Saya hanya mengikut sunah nabi.''
Hanya untuk poligami.
Dia hanya membantu wanita yang tidak berdaya.
Adakah lelaki kini berpoligami dengan matlamat membantu yang tidak berdaya?
Bergantung pada nawaitu.
Perbincangan itu tergantung begitu sahaja. Apa sahaja yang cuba dirasionalkan oleh si penceramah nampaknya sukar diterima oleh ahli-ahli.

Tentang pengisian yang saya peroleh, dikongsi bersama suami. Ia sangat bahagia mendengar saya terharu dan ingin mengikuti sunah nabi (bukan untuk poligami) lalu saya berikrar untuk meningkatkan amalan melalui amalan dan perbuatan. Ingin saya semai sifat-sifat mahmudah dan mengorak akhlak yang lebih mulia. Tegak bulu roma saya mendengar kisah baginda dan saya sedar hidup saya di dunia ini hanyalah pinjaman. Justeru saya mahu menggandakan amalan di dunia untuk diri, anak-anak dan masyarakat Islam umumnya.

Ia sangat memahami. Tiada halangan untuk saya berkerjaya dan berusrah, malah ia khabarkan cerita bahawa dakwah itu banyak caranya. Restu ia beri tanpa sengketa. Lalu, ia usulkan agar saya mendalami pengetahuan agama.

Saya akur.

Ia beri kunci untuk kami cicipkan cinta sampai usia tua. Dan apabila pulang, ia bertanyakan kisah-kisah yang saya usrahkan. Cerita saya panjang lebar tentang berbagai kisah. Menyentuh jiwa saya. Juga saya perihalkan kisah seorang perempuan muda yang turut serta dalam perbincangan itu. Ia anak kepada si penceramah. Ia ceritakan tentang berantakan rumah tangganya kerana sikap mazmumah segelintir insan dan kerana wang.

Ia lahirkan simpatinya. Wajahnya membendung duka.Kasihan wanita. Ujarannya menyejukkan perut saya. Simpati membuahkan cinta yang kian mendalam.

Saya menjadi kecut. Memikirkan bahawa hidup yang berlandaskan wang semata tidak menghampiri sifat mahmudah. Wang banyak menjadi penyebab keruntuhan. Dan duit saya mengalir kian laju ke poket suami saya. Taruhan sebuah kelestarian dan pengecasan bateri kebahagiaan rumah tangga.

Dia tekun mendengar. Dan ia memanjatkan syukur kerana kami bahagia.
Kerana saya sering memberi tanpa meminta-minta.

``Perempuan jangan terlalu mengongkong suami. Harus toleransi. Sama-sama bekerja sama-sama berbelanja. Zaman sekarang, selangkah bergerak duit. Dua langkah duit. Makin banyak langkah.''

Saya akur bicaranya. Walau di hati kecil saya tahu tanggungjawab itu di pundaknya. Bukan berhijrah di bahu wanita. Bukankah dulu ia pernah berkata bahawa saya hanya sebidang tanah. Dan dirinya adalah petani yang memantau kerbau atau membawa traktor untuk membajak dan menggembur tanah. Saya hanya diam. Kerana saya tidak mahu mengecilkan hatinya kerana saya selalu memberi.

Dan ia sambung lagi bahawa wanita harus menjadi isteri soleh yang sering mendoakan agar suaminya sentiasa sejahtera dan sihat. Tidak boleh menjatuhkan maruah suami, menjaga nama baik suami. Yang keluar dari mulut wanita adalah doa, justeru itu berkatalah yang baik-baik tentang suami.

Dan ia tak jemu-jemu memuji saya. Ia katakan bahawa saya isteri yang soleh. Yang menjaga makan minumnya dengan sempurna.
Hingga saya berasa begitu dihargai. Senyum saya menyerlah apabila teman-teman sering
bercerita tentang perlakuan suami yang dingin menyambut usia empat puluhan. Berbeza dengan perkahwinan kami yang masih marak dengan andang yang merah kuning menjulang-julang. Dan saya terus dengan senyum mesra kerana suami saya sering memuji saya.

Bukan mudah untuk sang suami mengkreditkan isterinya soleh.
Berikrarlah saya untuk setia sebagai wanita solehah kerana saya sudah teringin untuk mencium bau syurga. Kekerapan saya menghadiri usrah berganda-ganda. Mahu mendengar ceramah perihal ciri-ciri wanita solehah. Saya mahu menjadi isteri soleh.

Benar-benar bahagia di matanya. Saya menjaga bicara saya dan dia membuih-buihkan pujian hingga saya tenggelam dalam lautan yang mengasyikkan.

Ia memintal-mintal gelombang yang menghanyutkan saya dalam cinta dan keasyikan. Aduhai, betapa bahagianya menjadi isteri solehah. Bagaikan diri saya tidak terinjak di bumi nyata. Lalu saya kelubungkan seluruh diri saya dalam pakaian berwarna kusam kerana isteri solehah tidak memancarkan warna gemerlapan. Kecantikan ini hanya
untuknya. Islam menyeru kepada kesederhanaan.

Kau benar-benar isteri yang soleh. Kau telah melepasi banyak ujian dan aku yakin bahawa kau akan turut melepasi ujian ini. Hati saya berdebar-debar.

Ia menguji saya rupa-rupanya. Saya tidak pernah tahu. Saya kira kami menjalani hidup dengan nyata tapi katanya ia menguji saya. Apakah ini akhirnya sebuah sandiwara yang sedang saya lakonkan? Apakah saya akan lulus atau gagal?

Apakah hadiah yang akan suami saya berikan untuk isteri yang dianggapnya soleh. Saya berdoa agar ujian yang dikatakan oleh suami saya mampu saya lepasi.

``Aku sangat yakin kau mampu lepasinya,'' ujarnya lagi. Dan debaran saya kian hebat.

Malam yang bening, saya menunggunya di rumah. Saya benar-benar tidak sabar menerima kehadirannya. Dan saat yang saya tunggu tiba. Ia muncul di ambang pintu. Ia senyum pada saya. Saya membalas senyumannya. Ia berpaling ke kirinya dan menggamit
seseorang. Bermakna ada orang lain bersama dengannya.

Resah membukit dan saya tidak boleh duduk. Hati saya kian berdebar. Dada saya berkocak. Perut memulas-mulas.

Dan di ambang yang serupa, seorang wanita yang selalu saya temui di tempat usrah berdiri di sebelahnya. Peluh telah bermanik-manik. Apa kejutan yang ingin ia perbuat? Jiwa saya bergelombang. Buat pertama kali bahtera yang saya diami berkocak lebih hebat dari kebiasaan.

``Ingin saya kenalkan pada Wati, inilah isteri saya yang solehah,'' ujarnya. Manis senyumnya berladun di bibir. Wati angguk hormat pada saya. Saya masih was was. Bermacam-macam soalan merodok otak saya tetapi saya masih mampu mengawal emosi. Tetamu saya persilakan masuk. Suami saya duduk menghadap saya. Sedang Wati duduk bersebelahannya.

Lalu saya bertanya pada dia, ``Kenapa Wati di sini?''

Ia tidak menyahut tetapi mengambil nafas. Tenang air mukanya. Saya buntu. Fikiran saya kabur. Jantung saya tidak mampu berfungsi dengan baik. Kocakannya yang tidak saya undang membawa debaran yang membolak- balik seluruh isi dalam tubuh saya. Spontan saya seperti sampan kecil di samudera asing.

Kenapa Wati di sini. Sejak bila suami saya mengenali Wati?

Bertenang.

Saya bertenang dalam taufan kehairanan. Mustahil! Mustahil. Tubuh saya menggigil. Dalam ribut persoalan. Sedang resah yang membukit telah bergunung-gunung.

``Ini isteri kedua abang. Bekas isteri teman yang pernah abang ceritakan.''

Nah...! Gunung resah terhambur sudah. Kecil lelaki itu di mata saya. Bulu-bulu roma saya meremang tidak keruan mengalahkan kucing jantan garang yang meremang bulu tengkuk mahu menikam menerjang lawan. Saya beristighfar seketika mengembalikan semula kekuatan sebagai wanita muslim yang terdidik dengan sifat-sifat sabar.

Lelaki itu saya pandang sebelah mata. Hilang kata-kata. Hilang upaya. Terbenam dalam lumpur muslihat. Teroleng-oleng dibawa ombak dusta nakhoda. Seriau membelah perut. Kiamat. Sesudah terletup gunung datang guruh sengsara menerjah bersama-sama halilintar kesakitan.

Ini bahagianku yang diberi Allah. Saya mengerling isteri kedua yang berani datang ke rumah saya. Isteri kedua? Dengan tiba-tiba hilang gerimis kelabu, lenyap kabut ungu. Ia laksana taufan yang bergulung- gulung lalu menyapu bersih tanpa tanda. Noktah.

Dan saya benar-benar berada di ambang neraka. Seberang sana syurga menganga.

``Abang tahu kamu kuat menerimanya. Kamu isteri solehah.''

Ia masih mahu memerangkap saya padahal saya sudah tersepit dijerat. Ia pengkianat. Pandangan saya berpinar-pinar dan saya rebah. Kerana ia menghumban saya dari gunung yang tinggi.

Dan akhirnya ia benar-benar memberi hadiah untuk saya. Madu cintanya yang gemerlapan. Saya betul-betul tersungkur. Mereka berdua adalah guru saya. Suami saya dan ibu Wati. Memimpin saya ke jalan yang saya ingini.Menghadiahi saya surah-surah indah untuk saya teladani dan saya harus akur.

Sekonyong-konyong teringat akan pesannya dalam usrah: Jangan runtuhkan masjid yang dibina. Adakah itu sebuah peringatan untuk saya?

Tetapi percayalah segala-gala yang saya perbuat bukan kerana pesan si penceramah atau kerana pujian si suami, tetapi kerana Allah Yang Maha Besar.

Apa lagi? Apa lagi yang boleh saya harapkan daripada seorang lelaki?
Seorang suami? Telah saya ringankan bebannya untuk keabadian sebuah perkahwinan tanpa perkongsian. Tetapi dia tetap menghadiahi saya lara.

Jelas saya diperangkap oleh kedua-duanya. Dalam diam.Strateginya sangat licik.

Aku isteri yang solehah.
Aku wanita beriman.

Nyanyian itu bergema-gema. Menari-nari. Berghazal, berdendang, melentuk meliuk. Bukankah dia selalu berkata bahawa saya isteri yang solehah. Harus menerimanya dengan tabah. 

Dalam keterpaksaan saya menerima segalanya. Saya sambut huluran tangannya. Hati saya berbisik; ``Jangan menangis perempuan kerana lelaki itu. Menangislah kerana keinsafan sebab Allah memilihmu untuk dipayungi dan Dia memilih intan terpilih.''

Comments

Popular posts from this blog

Pengalaman Bersalin di Avisena Women's and Children Specialist Hospital Tahun 2021 Part 1

Resipi Rendang Daging Mudah dan Sedap!

engalaman Bersalin di Avisena Women's and Children Specialist Hospital Tahun 2021 Part 2